Cara Pengambilan St,John's Wart | YUK'S TROVE

nuffnag

SALES

Cara Pengambilan St,John's Wart

apakah st.john's wart?



St. John’s Wort merupakan sejenis tumbuhan liar di mana pokoknya mempunyai bunga berwarna kuning. Ia telah digunakan sejak berabad lamanya dalam bidang perubatan. Nama botani bagi tumbuhan ini ialah hypericum perforatum yang biasanya dikenali dan dijual di pasaran sebagai 'Hypericum’.

St. John’s Wort biasanya diekstrak daripada bunga dan daun. Ia digunakan secara amnya untuk merawat tanda-tanda masalah kesihatan mental. Ini termasuk kemurungan yang ringan atau sederhana dan gejala-gejala yang berkaitan dengan kemurungan seperti kebimbangan, keletihan, hilang selera makan dan masalah gangguan tidur (insomnia).

apakah kebaikan st.john's wart?


Ekstrak St. John’s Wort mengandungi bahan aktif hypericin dan hyperforin, serta bahan-bahan kimia lain. Hypericin dan hyperforin yang terdapat dalam St. John’s Wort adalah bahan yang digunakan untuk mengawal kemurungan.


Gangguan aktiviti pengutus saraf (neurotransmiter) semula jadi di dalam sel otak seperti adenosine, GABA dan glutamate boleh mengakibatkan masalah kemurungan dan rasa ingin membunuh diri. St. John’s Wort mengawal kemurungan dengan meningkatkan kesan pengutus saraf ini yang berada di sel-
sel otak.



kesan sampingan st.john's wart


Walaupun St. John’s Wort telah digunakan secara meluas bagi tujuan rawatan masalah mental dan kemurungan di Eropah, herba ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius jika pengambilannya tidak dipantau.

St. John’s Wort pada biasanya digunakan untuk rawatan jangka masa pendek sahaja. Namun, penggunaan St. John’s Wort tidak boleh diberhentikan secara tiba-tiba bagi individu yang sudah mengambil untuk satu tempoh masa yang lama. Situasi seperti ini boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Oleh itu, ia perlu diberhentikan secara beransur-ansur atas nasihat doktor atau ahli farmasi.


Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin dialami oleh pesakit yang mengambil St. John’s wort, seperti masalah perut (loya, sakit perut, hilang selera makan, cirit-birit), pening kepala, mulut kering, letih, dan sakit kepala.

Selain itu, perlu diingatkan bahawa gabungan St. John’s Wort bersama sesetengah ubat antikemurungan juga mungkin memberi kesan advers (kesan yang tidak diingini) yang serius, malah ia boleh mengancam nyawa.

interaksi st.john's wart dengan ubat-ubatan lain


St.John’s Wort mempunyai pelbagai interaksi ubat, dan ia bukanlah pilihan utama dalam rawatan kemurungan terutama bagi pesakit yang ada mengambil ubat-ubatan lain. Interaksi ini boleh menyebabkan sama ada kesan toksik atau mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan yang diambil. Antara contoh ubat-ubatan yang mempunyai interaksi dengan St. John’s Wort adalah Warfarin, Cyclosporin, Theophylline, pil perancang keluarga, Amitriptyline, Nortriptyline, Digoxin, Carbamazepine dan sebagainya.

Memandangkan produk yang mengandungi St. John’s Wort berpotensi berinteraksi dengan ubat-ubatan lain, pesakit yang ingin mengambil herba ini dinasihatkan agar berbincang terlebih dahulu dengan doktor dan ahli farmasi sebelum menggunakan ubat ini. Kesesuaian penggunaan herba ini adalah berdasarkan kepada keadaan pesakit dan ubat-ubatan yang diambil selepas berbincang dengan doktor.


Terdapat pelbagai jenama produk St. John’s Wort di pasaran. Pengguna harus memilih produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selain itu, elakkan terpengaruh dengan iklan promosi yang bertujuan bagi menarik perhatian pengguna.

Keselamatan penggunaan St. John’s Wort dalam kalangan wanita yang mengandung dan menyusu anak masih dikhuatiri ada kemungkinan tidak selamat memandangkan tiada data saintifik yang kukuh. Justeru, elakkan menggunakan St. John’s Wort jika anda sedang mengandung atau menyusukan bayi.


cara penyimpanan ubat yang mengandungi st.john's wart


Dari segi penyimpanan, produk-produk yang mengandungi St. John’s Wort hendaklah disimpan di tempat yang kering dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Penyimpanan yang betul adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengubatan yang tidak diingini. Selain itu, penyimpanan ubat yang tidak betul boleh mempengaruhi keberkesanan ubat dan boleh mendatangkan kemudaratan apabila digunakan.

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

sumber:
(metro ahad 5/11/2017)
Fazreena Ibrahim @ Ismail
Pegawai Farmasi,
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JKWPKL&P)

1 comment:

nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...